Thursday, November 25, 2010

PEMBANGUNAN KREATIVITI #3

Kenapa usahawan perlu ada kreativiti? Kreativiti adalah untuk inovatif. Tak kreatif maka tak inovatif. Setiap perkara yang inovatif itu datangnya dari cetusan idea kreatif. Dari idea yang kreatif maka tercetus produk inovatif atau strategi inovatif. Kreativiti  dalam keusahawanan bukan saja untuk mengeluarkan produk tetapi juga untuk mencipta peluang dan ruang dalam pasaran.
"Soalan biasa untuk manusia kreatif adalah; Apa, kenapa, mengapa, dimana, siapa dan bagaimana."
Lihat anak-anak kecil. Mereka selalu bertanya kepada ibu dan bapa mereka soalan-soalan tersebut. Maka orang dewasa malas nak fikir lalu menjawab dengan cara menipu (Sebab malas nak fikir) atau lebih senang lagi, marah aje lah budak tu, macam itu kah jawapan paling bernas. Inilah realiti dan cabaran kepada insan untuk berjiwa kreatif..
(Bersambung)

Monday, November 22, 2010

25 TIP KEUSAHAWANAN

Tip #1 Kenali Pelanggan Anda

Mengenali kehendak dan keperluan pelanggan adalah jalan utama kearah kejayaan usahawan. Tidak kira apa perniagaan anda, menjual nasi lemak, kedai kopi tepi jalan, kontraktor atau pengeluar produk.
Anda perlu untuk melakukan kajian kehendak dan keperluan pelanggan di mana anda hendak menempatkan perniagaan atau pasaran produk.
Daripada keperluan dan kehendak ini anda dapat melihat sikap pelanggan dan kelakuan pelanggan untuk anda cari ruang menempatkan produk anda dihati mereka. Nampak macam susah tapi kadang-kala sangat 'simple', sebagai contoh; ada satu ketika pelanggan cuma mahukan layanan yang cepat sedikit, mereka duduk lalu terus mendapat layanan tidak lebih dari 5 minit. Cuba lihat kedai mamak, saya pernah menjalankan 'survey' kepada 30 orang pelanggan di kedai mamak, rata-rata pelanggan menyatakan kedai mamak cukup cepat membuat layanan baik ketika membuat pesanan atau pun ketika dipanggil untuk mengira, selain dari beberapa faktor lagi seperti makanan ringan (roti canai), atau ringan dari persepsi orang Melayu; dan ada satu jawapan yang nampak lawak tapi ada betulnya, iaitu pelanggan Melayu suka marah-marah tapi mamak tak akan lawan balik, cuba buat begitu dikedai bangsa Melayu, kalau tak mandi air panas kira dah cukup bagus. Saya juga pernah menjalankan 'survey' di 5 buah restoran mewah disekitar Ipoh, mereka mengambil masa tidak sampai 3 minit untuk mengambil pesanan dari pelanggan, teknik ini sangat mengembirakan hati pelanggan.
Perkara ini nampak kecil tetapi ia memainkan peranan penting untuk jangka panjang. Demi 'survival' dalam perniagaan kita perlu berubah.

Tip #2 Matlamat yang jelas

Pastikan matlamat yang anda rancangkan adalah jelas dan mudah dicapai. Jika perniagaan anda mini market,  anda mempunyai ruang yang terhad, oleh itu anda perlu fokus kepada produk yang mempunyai permintaan yang tinggi. Pernah tak anda lihat ada kedai runcit yang meletakkan barangan begitu banyak seperti sebuah gudang, belum tentu mereka membuat perniagaan dengan baik, mereka akan kehilangan konsep dan matlamat dan tidak fokus kepada kehendak pelanggan. Maka apa yang terjadi peniaga ini akan menjadi tidak terkawal. Semakin fokus anda terhadap matlamat perniagaan anda semakin baik  anda memenuhi kehendak pelanggan.

Tip #3 Orang yang betul akan melakukan perkara yang betul

Semakin maju perniagaan, maka anda perlu untuk mengembangkan sayap perniagaan, oleh itu anda perlu mempunyai pekerja atau pengurus yang mahir. Mereka perlu mengetahui dan memahami visi dan misi perniagaan anda untuk memacu perniagaan untuk terus berkembang. Ada kala seorang peniaga itu langsung tidak ada pengetahuan tentang perniagaan yang hendak dijalankan, tetapi disebabkan mereka membayar seorang pengurus yang baik maka perniagaan mereka menguntungkan.

Tuesday, November 2, 2010

Keterbukaan Usahawan Terhadap Teguran, Nasihat Dan Kritikan


Usahawan adalah manusia biasa yang tidak lepas dari kelemahan dan kesilapan. Tidak ada manusia didalam dunia ini dijadikan sesempurna junjungan besar Nabi Muhamad S.W. Oleh itu pasti ada pandangan atau teguran atau kritikan yang telah atau bakal diterima oleh usahawan.
Keterbukaan untuk menerima dan mendengar segala macam teguran, nasihat atau kritikan adalah bonus dalam keusahawanan. Ada dikalangan usahawan mengatakan masyarakat ramai tidak layak untuk memberi pandangan kepada usahawan, mereka ini langsung tidak mahu mendengar pandangan orang lain. Jadi tanyakanlah kepada mereka siapa yang layak memberi pendapat? Ada dikalangan mereka ini berkata hanya usahawan yang berjaya sahaja layak memberi pendapat tentang keusahawanan kepada mereka yang tidak berapa berusahawan ini. Adakah mereka sedar, siapa yang biasa menegur mereka. Tentulah para pelanggan mereka sendiri. 

Pelanggan dan pembekal memberikan maklumat dan teguran secara percuma. Maklumat dari mereka adalah disebabkan mereka adalah pelanggan setia. Ambillah perhatian, berikan maklumbalas dan tindakbalas positif, nescaya mereka akan memberikan respon kepada pelanggan lain kearah yang positif juga.

Mengapa ada usahawan ego

Usahawan adalah insan yang berani dan tabah. Ada diantara mereka sanggup meninggalkan kerjaya dengan gaji yang lumayan semata-mata untuk bergelar usahawan. Semasa mereka mahu memulakan perniagaan mereka menghadapi saat paling sukar, iaitu berperang dengan diri sendiri, dengan halangan dari saudara terdekat seperti ibu dan bapa, adik beradik dan juga isteri/suami. Mereka melalui laluan getir untuk berjaya hingga menyebabkan hati mereka sangat keras. Dari peristiwa inilah menjadikan segelintir mereka sangat susah untuk ditegur. Mereka menjadi sangat 'protective', sikap ini akan melemahkan perniagaan mereka.

Menerima teguran dengan berlapang dada adalah sifat mulia. Jadilah manusia yang mudah didekati.
"Sembunyi kan kemarahan, maafkanlah orang lain, jangan berdendam, murahkan senyuman, elakkan dari menceritakan keburukan orang lain, sabar dan beribadah" 

Monday, November 1, 2010

Pembangunan Kreativiti #2


Kes 1#: Restoran Karaoke: "Saya cuba buat kelainan dengan menjadikan restoran saya bukan sahaja tempat orang ramai menjamu selera, tetapi juga tempat untuk berhibur setelah penat bekerja di siang hari, tapi perniagaan saya makin merosot, yang laris hanya minuman sahaja".

Kes 2#. Restoran Gusti: " Setiap malam restoran saya penuh dengan pelanggan, tapi mereka duduk berjam-jam disitu, jualan yang laris hanya air sahaja".
Sebenarnya semua insan didunia ini mempunyai kreativiti masing-masing. Mereka mendapat ilham dari persekitaran hidup mereka, dimana mereka dilahirkan, latar belakang keluarga, pelajaran, pergaulan dan pelbagai sumber. Tetapi adakah kreativiti kita boleh diterima oleh semua orang atau setidak-tidaknya majoriti masyarakat. Mat rempit adalah manusia kreatif dalam kelompok mereka, tetapi ia tidak diterima oleh masyarakat biasa, menjadikan idea mereka mengubahsuai motosikal sebagai aktiviti luarbiasa. Jika mereka menyalurkan kemahiran dan idea kepada aktiviti yang dilesenkan atau diterima oleh penguasa/polis seperti Petronas CupPrix sudah pasti tiada halangan.

Melihat kepada kes diatas, kedua-dua pengusaha restoran tersebut adalah kreatif, tetapi mengapa mereka mengeluh begitu. Mereka adalah usahawan Melayu, berniaga dipersekitaran orang-orang melayu dan sudah pasti berugama Islam. Adakah semua orang Melayu boleh menerima aktiviti seperti ini pada malam hari, apatah lagi jika melibatkan anak-anak mereka pulang lewat malam. Bagaimana dengan pelanggan berkeluarga, adakah mereka selesa makan malam ditempat seperti ini. Adakah tergamak mereka hendak menelan juadah dengan mendengar suara serak-serak basah penyanyi bakat terpendam. Perniagaan makanan terutama restoran adalah bergantung kepada makanan, semakin enak rasa hidangan semakin ramai pelanggan.  

Cuba bayangkan ketika memasuki ruangan makan didalam restoran hotel yang anda pernah pergi, adakah mereka mendendangkan lagu-lagu pop atau rock beserta suara penyanyinya. Kebanyakan mereka menyajikan hanya muzik yang perlahan dan romantik untuk didengar. Ini adalah sebagai contoh dimana kreativiti didalam perniagaan perlu dinilai mengikut persekitaran, budaya dan adat resam masyarakat. Nilai tambah (CBP) perlu dalam perniagaan agar dapat memberi kesan mendalam dihati sanubari pelanggan, agar mereka terkenang dan sentiasa mengingati saat-saat manis mereka ketika berada dipremis anda. Contoh; jika perniagaan anda dihadapan masjid, berikan suasana dan persekitaran bercirikan Islam, begitu juga jika perniagaan anda dikelilingi oleh masyarkat bujang, atau institusi pengajian tinggi ubah lah situasi mengikut trend mereka, suasana malap, tempat duduk yang santai, WiFi, makanan ringan dan trend remaja seperti roti canai, Chicken chop, burger atau minuman jus segar.

Ayat-Ayat Pembunuh Kreativiti

  1. "Ahh"
  2. "Saya tak boleh"
  3. "Inilah idea yang paling bodoh pernah saya dengar"
  4. "Betul, tapi kalau kau buat nanti akan jadi macam"....(dimasukkan kisah kegagalan orang lain)
  5. "Alah kami dah cuba buat macam tu dulu" 
  6. "Kenapa nak ubah, kami lihat tak ada masalah pun keadaan sekarang"
  7. "Eh..Mana ada orang buat macam tu sebelum ni."
  8. "Kami banyak kerja lah, mana ada masa nak pikir benda lain"
  9. "Mana kita ada budget nak buat"
  10. "Mana kau dapat idea bodoh nih".......Bersambung.........

Sunday, October 17, 2010

Minda Usahawan #2. Pembangunan Kreativiti


Apabila kita bercerita tentang minda usahawan, maka tidak terlepas daripada konsep kreatif dan inovatif.


Bagaimana menjadi kreatif? 

Cuba kita kenangkan atau bayangkan kembali ketika kita hendak membuat satu lukisan masa persekolahan dahulu. Apa yang terbayangkan, contohlah kita hendak melukis sebatang pokok, kita akan mengambarkan pokok tersebut didalam minda kita, kemudian kita akan buatkan lakaran dalam kertas lukisan, bila lakaran itu tidak menepati seperti didalam bayangan kita akan padamkan dan lukis kembali. Begitulah yang dilakukan berulangkali hingga lakaran tersebut berkenan dihati. Kemudian apalagi? Tentulah proses seterusnya iaitu mewarna. Proses mewarna juga mengikut imaginasi individu, setiap individu mempunyai citarasa yang berbeza terhadap warna. Nah, sekarang lukisan sudah siap, maka paparkan dipapan kenyataan, apa yang dilihat adalah hasil kreativiti seorang insan dalam bentuk dan warna lukisan tersebut mengikut kehendak dan imaginasi oleh pelukis.

Begitu juga dengan minda usahawan,( Ambil contoh dari seni melukis)


(Imaginasi):- cetusan idea bermula dari ketika melihat peluang, membayangkan apa yang boleh dipasarkan dan siapa sasaran anda.

(Melakar):- Setelah itu pertimbangkan apakah kekuatan produk dan bagaimana memasuki pasaran. Bagaimana dengan kewangan? Berapa modal yang ada atau diperlukan perlu diambil kira. Jika perlukan bantuan dimana perlu juga harus diambilkira. Adakah anda telah kenal betul dengan potensi diri sendiri. Apa kemahiran anda sebenarnya. Perlukah menimba ilmu atau menghadiri kursus? Adakah produk anda terlalu unik dan sangat kurang dipasaran, jika 'Ya', adakah bekalan mudah didapati, atau terlalu banyak pesaing dalam pasaran juga perlu diperhatikan, jika jawapan ini 'Ya', bagaimana untuk menonjokan kelainan anda.(lihat dibawah). Proses melakar bermaksud anda membuat perancangan, tuliskan pelan perniagaan anda, lakukan intipan terhadap peniaga sediaada, apa yang mereka tonjolkan dan sejauh mana kreativiti mereka, maka ciptakan satu ciplakan kreatif oleh anda untuk dilihat berbeza dari pesaing.

(Mewarna):- Merancang teknik pasaran dan penonjolan keunikan produk, mungkin produk anda telah banyak dipasaran, tapi disinilah kreativiti anda menonjol, contoh, menjual nasi lemak, jika dilihat nasi lemak adalah sama dan boleh didapati dimana sahaja, rasa pun alahai lebihkurang sama sahaja. Kisah Benar,  ada satu kedai nasi lemak Mak Mah (bukan nama sebenar), Mak Mah menjual nasi lemak kukus dan dihidangkan panas-panas, pada hari Sabtu dan Ahad pelanggan sanggup berbaris semata-mata untuk membeli nasi lemak kukus Mak Mah.Bukan sahaja yang ditonjolkan adalah nasi lemak kukus, tetapi khasiatnya dikatakan kurang kolestrol, malah teknik bungkusan juga berbeza dari penjual lain, oleh itu ia menjadi tredmark kepada kedai nasi lemak kukus Mak Mah. Bah kata orang, tengok bungkusan pun dah tahu nasi lemak siapa.

(Paparkan Lukisan):- Pemilihan lokasi, jika produk anda menyasarkan pelanggan melayu, kategorikan kelas pendapatan dan letakkan produk anda disitu.Kerana orang Melayu juga mempunyai kelas tertentu, ada high class, ada kelas pertengahan dan ada kelas bawahan, iaitu berpendapatan rendah.Tonjolkanlah produk anda kepada mereka. Letakkan didepan mata mereka. Dan berniagalah anda, tetapi ingat sentiasa bangunkan minda kreatif agar perniagaan anda tidak kelihatan sama sahaja saban tahun hingga pelanggan naik bosan melihatnya. Sebab mata manusia suka melihat benda yang baru.

Bersambung...

Friday, October 8, 2010

Jangan lah berputus asa

Dari Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni


Wahai Insan! Optimislah! Jangan berputus asa dan pesimis, berbaik sangkalah kepada Tuhanmu dan nantikanlah semua kebaikan dan anugerah daripada Nya.

Bergembiralah dengan pilihan Allah kepadamu, sebab engkau tidak tahu mana yang baik, kadang-kala kesulitan yang diberikan lebih baik daripada kesenangan.

Musibah itu mendekatkan kamu kepada Allah, musibah itu juga mengajari kamu untuk berdoa, menghilangkan sifat sombong, membangga diri dan bermegah-megah.

Kamu sendirilah yang bertanggungjawap terhadap nikmat harta dan segudang kebaikan yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu.

Berbuat baiklah kepada manusia agar kamu memperoleh kebahagiaan dengan mengunjungi ornag sakit, bersedekah kepada fakir miskin dan menyayangi anak yatim.

Hindarkanlah buruk sangka, berangan-angan dan khayalan yang memudaratkan atau merosakkan.

Wassalam 

Monday, October 4, 2010

Kenali Potensi Diri

 Ditulis Oleh: Roslan Bin Ali
 
Pada dasarnya setiap manusia yang wujud didunia ini telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T dengan berbagai kelebihan. Tetapi ramai yang tidak menyedari kewujudan potensi itu didalam diri. Ada seorang kawan yang berkata beruntunglah orang yang ada ilmu ketukangan, ada yang kata untunglah orang yang ada kemahiran menulis, ada yang kata untunglah dilahirkan sebagai anak orang kaya dan berpengaruh. Cuba kita lihat disini, apa yang dilihat dan dikaji adalah kelebihan orang lain, sedangkan kelebihan diri sendiri dan potensinya tidak dikaji dan diselidiki.

Betullah kata bidalan "kuman diseberang laut nampak, gajah didepan mata tidak kelihatan"


Padahal cuba dilihat pada diri sendiri, bagaimana kita boleh terus 'survive' dalam kehidupan ini. Bagaimana kita boleh kekal dalam menangani masalah yang di terima saban masa. Jika anda masih tidak yakin lagi, cuba baca tip ini.

Kenali diri sendiri
Cuba anda buat satu senarai tentang kekuatan diri (Strength), kemudian senaraikan kelemahan diri anda (Weakness), apakah peluang yang anda boleh capai (Opportunity) dan apakah halangan (Threat) yang anda hadapi, jika diatur huruf dalam kurungan akan menjadi SWOT, inilah pemula strategi kejayaan dalam hidup anda. Jawablah secara jujur. Anda boleh tanyakan pada kawan-kawan rapat atau saudara terdekat mengenai diri anda. Terima segala jawapan dari mereka secara terbuka dan jika boleh tanyakan kepada mereka tentang potensi diri anda kearah kejayaan dari kaca mata mereka. Catatkan segala jawapan tadi dalam strategi SWOT anda.

Tentukan tujuan hidup anda
Tanyakan pada diri anda sendiri 'apa yang anda cari'. Apakah tujuan itu boleh dicapai dalam jangka pendek atau panjang. Adakah ianya realiti mudah dicapai. Setiap rancangan perlulah mengikut kemampuan dan kompetensi diri sendiri. Rancangan jangka panjang amat memerlukan komitmen, ketahanan mental, bersedialah untuk itu semua. 


Kenali motivasi diri
Setiap individu mempunyai motivasi diri tersendiri. Cuba anda pastikan apakah motivasi diri yang boleh melantunkan diri anda untuk mencapai apa yang anda inginkan. Sebagai contoh, cuba bayangkan bagaimana anda boleh diterima bekerja oleh majikan anda, sedangkan ketika itu begitu ramai calon yang hadir didalam temuduga kerja, sudah pasti anda telah menunjukkan sesuatu kekuatan dari dalam diri anda hingga anda diterima oleh majikan anda.


Ingatkan Kekuatan diri, bukan kelemahan
Buangkan jauh-jauh tentang kelemahan diri. Sentiasa ingat anda ada kekuatan sendiri. Tonjolkan kekuatan itu. Jika anda asyik memikirkan anda ada kekurangan dari orang lain maka anda akan kerap mengalah. Setiap kali anda gagal jangan menyalahkan orang lain. Bangkit semula dan cari punca kegagalan dan kelemahan untuk mencungkil kekuatan dan peluang yang boleh dicapai.

Jangan terlalu menyalahkan diri sendiri
Bangkit dari kegagalan. Jangan meratap kegagalan. Bukan anda seorang yang pernah gagal. Belajarlah dari kegagalan dan kejayaan orang lain. Jadikan panduan.

Sebagai contoh cuba lihat kisah John Lasseter, "Chief Creative Officer kepada PIXAR dan Walt Disney Animation Studios. Pada awalnya beliau telah ditolak mentah-mentah oleh Walt Disney kerana idea yang beliau keluarkan dikatakan tidak cukup baik kepada ketua animasi Walt Disney, beliau kemudian telah diterima bekerja oleh Syarikat PIXAR yang ketika itu amat memerlukan seorang animator. Dengan PIXAR beliau begitu berjaya dengan kisah animasi 'Toy Story', 'Bug's Life', 'Toy Story 2' dan 'Cars'. Hingga PIXAR mengambil alih syarikat Walt Disney.
Mengapa John Lasseter begitu berjaya? Kerana beliau tahu tentang kehebatan diri beliau. Yakin dan berusaha bersungguh-sungguh. 

Kini anda telah tahu untuk menilai potensi diri, apa lagi yang ditunggu. Mulakan langkah anda kearah kejayaan

"Selamat Berjaya"