Sunday, December 26, 2010

Kenapa Nak Jual KFC?



"RM 5 juta sehari, itu yang diperolehi oleh KFC secara tunai"
Sekarang tengah heboh diperkatakan, dan sudah mula jadi tanda tanya kepada masyarakat Melayu, kenapa Johor Corp. nak jual KFC sedangkan pendapatan tunai nya begitu banyak dalam sehari. Seharusnya perniagaan tersebut dipertahankan kerana  menjadi lubuk emas kepada organisasi tersebut. Tan Sri Ali Hassim orang lama dalam Johor Corp. telah meletakkan jawatan. Beliau adalah orang pertama yang mengatakan KFC hendak dijual hingga mendapat bantahan dari banyak pihak. Kemudian beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan.
Dari kemelut ini sudah pasti ada yang sangat berat untuk ditanggung oleh Tan Sri Ali hingga beliau sanggup untuk melepaskan jawatan beliau didalam J. Corp. Pemuda UMNO Sungai Besi nampaknya sangat kuat membantah tindakan untuk menjual KFC. Tapi kenapa UMNO Sungai Besi? Apa dah jadi dengan rakyat Negeri Johor dan para ahli bijak pandainya, mengapa mereka tidak bersuara seperti Pemuda UMNO Sungai Besi. Apa yang sudah berlaku dalam Negeri Johor?
KFC yang diambilalih oleh J.Corp dilihat sebelum ini sebagai satu jalan untuk menghalalkan makanan kegemaran masyarakat Islam di Malaysia ini, ia bukan sahaja untuk mewujudkan kesahihan status halal tetapi lebih besar lagi adalah melaksanakan tanggungjawap 'fardhu kifayah'. Umat Islam di Malaysia mesti ada kekuatan ekonomi dalam industri makanan halal dan teknologi untuk pembangunan kekuatan Ummah. Disini J.Corp dilihat sebagai hero oleh umat Islam Malaysia.
"Sekarang apa dah jadi? Dah lupa dengan tanggungjawap tersebut ker? Adakah keuntungan yang diperolehi menjadikan manusia lupa niat asal atau ada tangan yang sangat besar sedang ingin mengenggam KFC? Kita lihat dan dengar lah kesudahannya. Bagi rakyat Johor apa kata anda? "

Friday, December 24, 2010

Lakukanlah Yang Terbaik Untuk Pelanggan Anda

Ini adalah kisah saya sebagai contoh:
Saya telah awal ke lapangan terbang untuk urusan 'check-in'. Apabila saya hendak mengesahkan tiket saya didalam 'business class', malangnya tempahan saya tiada didalam rekod dan tempat untuk business class juga telah penuh. Saya bertanya kepada agen tersebut adakah ada tempat lagi didalam kelas pertama, lalu beliau menjawap "Ya". Dengan tersenyum saya katakan "Hah, tak ada masalah" dan kemudian saya menyambung kata "Bolehkah 'upgrade' tempat duduk saya" Agen sigadis manis itu tersenyum lagi dan bangun dari tempat duduknya.
 Setelah 20 minit menunggu saya masih menanti tanpa mendapat jawapan dengan perasaan yang sedikit gementar kerana jika saya tidak dapat sampai ketempat yang dijanjikan maka gagallah program yang akan saya hadiri, mata saya menjeling kepada  pekerja tadi bersama rakannya membuat semakan didalam komputer, menelefon agen pelancongan saya dan kemudian menelefon pengurus beliau untuk mendapatkan arahan selanjutnya.
Lalu saya berkata dengan nada lembut mengatakan bahawa saya sudah beberapa tahun menggunakan perkhidmatan penerbangan syarikat mereka." Tak boleh kah berikan saya sedikit peluang istimewa kepada saya kali ini", "kami memang cuba berikan peluang ini tapi ada seoarang pegawai kanan  yang juga pelanggan tetap kami hendakkan tempat tersebut" kata nya. "Wah senangnya berkata begitu, sedangkan saya datang untuk 'check-in' business class di kaunter ini dengan jawapan yang hampa, tiada nama saya dalam senarai tempahan, kemudian saya terpaksa menunggu selama 20 minit untuk awak berbincang, saya sudah terlambat untuk 'check-in', sepatutnya saya diberikan peluang ini, bukan orang yang dah dapat tempat kemudian hendak bertukar class di berikan keutamaan. Semuanya adalah kesilapan dari syarikat awak, orang yang patut diberikan tempat adalah saya". Tapi jawapan yang mengecewakan keluar dari mulutnya " Company policy En. Roslan".
Syarikat penerbangan ini begitu berbangga mewar-warkan tentang kebaikan perkhidmatan pelanggan nya, inovatif dalam perkhidmatan pelanggan melalui pendekatan yang fleksibel, tapi apa yang jadi pekerja kaunter pun tidak faham istilah inovatif tersebut.. 
Oleh itu apa sahaja perancangan dan perubahan yang ingin dilakukan oleh syarikat hendaklah diberikan kefahaman dahulu kepada semua pekerja supaya boleh diadaptasikan dengan baik..

Thursday, December 9, 2010

2 TIP KURANGKAN STRESS

Ada satu hari datang seorang kawan berjumpa saya, beliau berkata "Aku nak tanya kau sikit", lalu saya menjawap "Hah, apa dia?". "Aku rasa stres kat tempat kerja, kau taulah aku kerja sebagai akauntan, asyik tengok angka hari-hari, aku tengok kau setiap hari ceria ajer, bagilah aku tip sikit" katanya kepada saya. Saya bertanya "Apa yang kau buat selain dari buat kerja, maksud aku bila balik rumah?", "Aku tidor ajer, itu yang aku rasa paling mudah nak hilangkan stress aku" katanya lagi.
"Ok lah" kata ku,

Tip #1
Baca buku, ini yang paling mudah, carilah novel. Kenapa novel? Kerana novel akan merangsang otak untuk menjadi aktif. Otak yang mana? Otak kanan, kan kita manusia ada 2 bahagian otak, satu otak kiri yang bertugas untuk logik dan satu lagi otak kanan, untuk kreatif. Jadi baca novel akan merangsang otak kanan. Kawan saya ni setiap hari kerjanya tengok angka, jadi dia gunakan otak kiri, otak logik, kemudian balik rumah dia tidur, esok tengok angka lagi, mana tak stress. Kita kena seimbangkan penggunaan otak agar kita merasa hidup kita tidak terkongkong oleh satu aktiviti setiap hari. Membaca novel akan membuat kita berimaginasi, contohnya jika kita membaca ayat seperti begini "Aku duduk ditebing sungai, melepaskan pandangan ku kearah air yang mengalir jernih, kelihatan anak-anak ikan seluang berenang-renang melawan arus untuk ke hulu sungai, aku cecahkan kaki ku kedalam air, oh, sejuk dan nyaman sekali dirasakan" Gambaran kita duduk ditebing sungai yang menghadap air yang jernih, maka kita akan ingat sungai atau air terjun yang pernah kita kunjungi dan gambaran ikan yang berenang didalam sungai akan menenangkan hati kita. Kita akan seperti merasa kesejukan air sungai yang pernah kita kunjungi  menyerap kedalam tubuh.
Macam tu lah merangsang otak kanan namanya. Imaginasi tersebut menyebabkan kita akan merasa relek dan tenang. Otak pun perlukan makanan seperti perut juga, maka berikanlah makanan yang sesuai untuk otak demi kesihatan jiwa.

Tip #2
Jadikan apa yang kita lakukan dengan penuh minat. Kalau tak minat mana boleh jadi, macam-macam alasan akan keluar dari mulut. Kalau tak minat kita akan paksa diri untuk lakukan, jawapannya stress lah. Saya katakan setiap apa yang kita buat adalah atas pilihan kita sendiri, jadi tanamkan minat untuk tolong diri sendiri, jangan mendera diri sendiri. 

Tuesday, December 7, 2010

Perang Harga - Anda Menang Atau Kalah

Apabila anda mahu menjual produk, perkara yang pertama difikirkan adalah harga. Soal perletakan harga membuat kebanyakan peniaga menemui jalan buntu atau merasa keliru, kerana peniaga merasakan harga adalah enjin utama untuk memenangi pelanggan. Perkara yang biasa dilakukan adalah seperti berikut;
  1. Zero-based pricing - Iaitu dengan mengambil risiko menjual dengan keuntungan sedikit, menyasarkan jualan yang banyak..
  2. Standard Mark-Up - Letakkan 50% mark-up harga dari kos produk.
  3. Competitive parity - Letakkan harga yang sama dengan pesaing dalam pasaran.
Perang Harga bukanlah satu strategi yang baik. Ia boleh diibaratkan seperti gergaji bermata dua. Strategi ini boleh dipanggil senjata makan tuan. Mengapa saya katakan begitu, adalah kerana anda akan mendapat keuntungan yang sedikit, kemudian ketika anda menaikkan harga semula pelanggan akan kecewa dan tidak mahu lagi singgah atau membeli produk anda, akibatnya jualan anda merosot, maka anda akan cuba menurunkan semula harga dan ketika ini syarikat anda akan beroperasi dalam akaun yang negatif. Pelanggan pula sudah mula menganggap anda menjual produk tidak berkualiti, akibatnya anda akan perlu bersedia untuk keluar dari pasaran. Perang harga amat mudah untuk diatasi atau ditiru, dengan kata lain "Kau turun harga, aku pun boleh". Perang harga tidak menguntungkan kepada peniaga, hanya pelanggan yang mendapat manfaat dari perkara ini dan tidak bertahan lama kerana pelanggan mula merasa kecewa apabila harga kembali naik.  

Penuhi Kehendak Dan Keperluan Pelanggan
Apa yang dilihat dari perkara diatas semuanya dilakukan tidak mengambil kira kehendak pelanggan. Dalam memasarkan produk perkara utama adalah memahami keperluan dan kehendak pelanggan. Menyelami nilai sebenar yang mahu dibayar oleh pelanggan adalah satu keutamaan. Oleh itu lakukanlah penyelidikan dan risikan terhadap harga, kualiti dan persepsi dari bakal pelanggan, jika tidak mampu melakukan sendiri anda boleh menggunakan perkhidmatan syarikat perunding untuk melakukannya. Dari itu anda akan dapat mengetahui berapakah harga dan kualiti yang di kehendaki oleh pelanggan. sebagai contoh anda menjadi pengeluar produk jus kurma. Kos pengeluaran adalah RM3.00 sebotol (250 ml), maka anda memutuskan untuk menjual dengan harga RM7.00, bagaimana jika pelanggan hanya bersedia untuk membayar dengan harga RM2.50, tentu anda tidak boleh menjual dengan harga dibawah kos. Bagaimana jika pelanggan sedia membayar dengan harga RM15.00 atau harga dipasaran sediaada sudah begitu, bukankah anda membodohkan diri sendiri hingga mungkin pelanggan akan beranggapan produk anda ada masalah dari segi isi kandungannya. 

Membina Kesetiaan
Bagi memenangi hati pelanggan adalah dengan membina kesetiaan. Jadikan pelanggan merasa mendapat faedah dari menggunakan produk anda, jadikan pelanggan merasakan pengalaman indah ketika menggunakan produk anda. Tonjolkan kehebatan produk dengan bandingan nilai yang dibayar. Sebagai contoh, syarikat ternama membina kesetiaan adalah dengan menyediakan pusat khidmat pelanggan (Customer servce centre), hal ini tidak merugikan kerana segala kos juga perlu dibayar oleh pelanggan. Mana ada yang percuma dalam dunia perniagaan, semua aktiviti perlu diambilkira kedalam akaun.
"Kualiti adalah agen utama dalam membina kesetiaan, kadangkala kualiti itu hanyalah persepsi, bergantung bagaimana anda mempromosikan produk, nilai tambah dan faedah kedalam minda pelanggan"

Thursday, November 25, 2010

PEMBANGUNAN KREATIVITI #3

Kenapa usahawan perlu ada kreativiti? Kreativiti adalah untuk inovatif. Tak kreatif maka tak inovatif. Setiap perkara yang inovatif itu datangnya dari cetusan idea kreatif. Dari idea yang kreatif maka tercetus produk inovatif atau strategi inovatif. Kreativiti  dalam keusahawanan bukan saja untuk mengeluarkan produk tetapi juga untuk mencipta peluang dan ruang dalam pasaran.
"Soalan biasa untuk manusia kreatif adalah; Apa, kenapa, mengapa, dimana, siapa dan bagaimana."
Lihat anak-anak kecil. Mereka selalu bertanya kepada ibu dan bapa mereka soalan-soalan tersebut. Maka orang dewasa malas nak fikir lalu menjawab dengan cara menipu (Sebab malas nak fikir) atau lebih senang lagi, marah aje lah budak tu, macam itu kah jawapan paling bernas. Inilah realiti dan cabaran kepada insan untuk berjiwa kreatif..
(Bersambung)

Monday, November 22, 2010

25 TIP KEUSAHAWANAN

Tip #1 Kenali Pelanggan Anda

Mengenali kehendak dan keperluan pelanggan adalah jalan utama kearah kejayaan usahawan. Tidak kira apa perniagaan anda, menjual nasi lemak, kedai kopi tepi jalan, kontraktor atau pengeluar produk.
Anda perlu untuk melakukan kajian kehendak dan keperluan pelanggan di mana anda hendak menempatkan perniagaan atau pasaran produk.
Daripada keperluan dan kehendak ini anda dapat melihat sikap pelanggan dan kelakuan pelanggan untuk anda cari ruang menempatkan produk anda dihati mereka. Nampak macam susah tapi kadang-kala sangat 'simple', sebagai contoh; ada satu ketika pelanggan cuma mahukan layanan yang cepat sedikit, mereka duduk lalu terus mendapat layanan tidak lebih dari 5 minit. Cuba lihat kedai mamak, saya pernah menjalankan 'survey' kepada 30 orang pelanggan di kedai mamak, rata-rata pelanggan menyatakan kedai mamak cukup cepat membuat layanan baik ketika membuat pesanan atau pun ketika dipanggil untuk mengira, selain dari beberapa faktor lagi seperti makanan ringan (roti canai), atau ringan dari persepsi orang Melayu; dan ada satu jawapan yang nampak lawak tapi ada betulnya, iaitu pelanggan Melayu suka marah-marah tapi mamak tak akan lawan balik, cuba buat begitu dikedai bangsa Melayu, kalau tak mandi air panas kira dah cukup bagus. Saya juga pernah menjalankan 'survey' di 5 buah restoran mewah disekitar Ipoh, mereka mengambil masa tidak sampai 3 minit untuk mengambil pesanan dari pelanggan, teknik ini sangat mengembirakan hati pelanggan.
Perkara ini nampak kecil tetapi ia memainkan peranan penting untuk jangka panjang. Demi 'survival' dalam perniagaan kita perlu berubah.

Tip #2 Matlamat yang jelas

Pastikan matlamat yang anda rancangkan adalah jelas dan mudah dicapai. Jika perniagaan anda mini market,  anda mempunyai ruang yang terhad, oleh itu anda perlu fokus kepada produk yang mempunyai permintaan yang tinggi. Pernah tak anda lihat ada kedai runcit yang meletakkan barangan begitu banyak seperti sebuah gudang, belum tentu mereka membuat perniagaan dengan baik, mereka akan kehilangan konsep dan matlamat dan tidak fokus kepada kehendak pelanggan. Maka apa yang terjadi peniaga ini akan menjadi tidak terkawal. Semakin fokus anda terhadap matlamat perniagaan anda semakin baik  anda memenuhi kehendak pelanggan.

Tip #3 Orang yang betul akan melakukan perkara yang betul

Semakin maju perniagaan, maka anda perlu untuk mengembangkan sayap perniagaan, oleh itu anda perlu mempunyai pekerja atau pengurus yang mahir. Mereka perlu mengetahui dan memahami visi dan misi perniagaan anda untuk memacu perniagaan untuk terus berkembang. Ada kala seorang peniaga itu langsung tidak ada pengetahuan tentang perniagaan yang hendak dijalankan, tetapi disebabkan mereka membayar seorang pengurus yang baik maka perniagaan mereka menguntungkan.

Tuesday, November 2, 2010

Keterbukaan Usahawan Terhadap Teguran, Nasihat Dan Kritikan


Usahawan adalah manusia biasa yang tidak lepas dari kelemahan dan kesilapan. Tidak ada manusia didalam dunia ini dijadikan sesempurna junjungan besar Nabi Muhamad S.W. Oleh itu pasti ada pandangan atau teguran atau kritikan yang telah atau bakal diterima oleh usahawan.
Keterbukaan untuk menerima dan mendengar segala macam teguran, nasihat atau kritikan adalah bonus dalam keusahawanan. Ada dikalangan usahawan mengatakan masyarakat ramai tidak layak untuk memberi pandangan kepada usahawan, mereka ini langsung tidak mahu mendengar pandangan orang lain. Jadi tanyakanlah kepada mereka siapa yang layak memberi pendapat? Ada dikalangan mereka ini berkata hanya usahawan yang berjaya sahaja layak memberi pendapat tentang keusahawanan kepada mereka yang tidak berapa berusahawan ini. Adakah mereka sedar, siapa yang biasa menegur mereka. Tentulah para pelanggan mereka sendiri. 

Pelanggan dan pembekal memberikan maklumat dan teguran secara percuma. Maklumat dari mereka adalah disebabkan mereka adalah pelanggan setia. Ambillah perhatian, berikan maklumbalas dan tindakbalas positif, nescaya mereka akan memberikan respon kepada pelanggan lain kearah yang positif juga.

Mengapa ada usahawan ego

Usahawan adalah insan yang berani dan tabah. Ada diantara mereka sanggup meninggalkan kerjaya dengan gaji yang lumayan semata-mata untuk bergelar usahawan. Semasa mereka mahu memulakan perniagaan mereka menghadapi saat paling sukar, iaitu berperang dengan diri sendiri, dengan halangan dari saudara terdekat seperti ibu dan bapa, adik beradik dan juga isteri/suami. Mereka melalui laluan getir untuk berjaya hingga menyebabkan hati mereka sangat keras. Dari peristiwa inilah menjadikan segelintir mereka sangat susah untuk ditegur. Mereka menjadi sangat 'protective', sikap ini akan melemahkan perniagaan mereka.

Menerima teguran dengan berlapang dada adalah sifat mulia. Jadilah manusia yang mudah didekati.
"Sembunyi kan kemarahan, maafkanlah orang lain, jangan berdendam, murahkan senyuman, elakkan dari menceritakan keburukan orang lain, sabar dan beribadah" 

Monday, November 1, 2010

Pembangunan Kreativiti #2


Kes 1#: Restoran Karaoke: "Saya cuba buat kelainan dengan menjadikan restoran saya bukan sahaja tempat orang ramai menjamu selera, tetapi juga tempat untuk berhibur setelah penat bekerja di siang hari, tapi perniagaan saya makin merosot, yang laris hanya minuman sahaja".

Kes 2#. Restoran Gusti: " Setiap malam restoran saya penuh dengan pelanggan, tapi mereka duduk berjam-jam disitu, jualan yang laris hanya air sahaja".
Sebenarnya semua insan didunia ini mempunyai kreativiti masing-masing. Mereka mendapat ilham dari persekitaran hidup mereka, dimana mereka dilahirkan, latar belakang keluarga, pelajaran, pergaulan dan pelbagai sumber. Tetapi adakah kreativiti kita boleh diterima oleh semua orang atau setidak-tidaknya majoriti masyarakat. Mat rempit adalah manusia kreatif dalam kelompok mereka, tetapi ia tidak diterima oleh masyarakat biasa, menjadikan idea mereka mengubahsuai motosikal sebagai aktiviti luarbiasa. Jika mereka menyalurkan kemahiran dan idea kepada aktiviti yang dilesenkan atau diterima oleh penguasa/polis seperti Petronas CupPrix sudah pasti tiada halangan.

Melihat kepada kes diatas, kedua-dua pengusaha restoran tersebut adalah kreatif, tetapi mengapa mereka mengeluh begitu. Mereka adalah usahawan Melayu, berniaga dipersekitaran orang-orang melayu dan sudah pasti berugama Islam. Adakah semua orang Melayu boleh menerima aktiviti seperti ini pada malam hari, apatah lagi jika melibatkan anak-anak mereka pulang lewat malam. Bagaimana dengan pelanggan berkeluarga, adakah mereka selesa makan malam ditempat seperti ini. Adakah tergamak mereka hendak menelan juadah dengan mendengar suara serak-serak basah penyanyi bakat terpendam. Perniagaan makanan terutama restoran adalah bergantung kepada makanan, semakin enak rasa hidangan semakin ramai pelanggan.  

Cuba bayangkan ketika memasuki ruangan makan didalam restoran hotel yang anda pernah pergi, adakah mereka mendendangkan lagu-lagu pop atau rock beserta suara penyanyinya. Kebanyakan mereka menyajikan hanya muzik yang perlahan dan romantik untuk didengar. Ini adalah sebagai contoh dimana kreativiti didalam perniagaan perlu dinilai mengikut persekitaran, budaya dan adat resam masyarakat. Nilai tambah (CBP) perlu dalam perniagaan agar dapat memberi kesan mendalam dihati sanubari pelanggan, agar mereka terkenang dan sentiasa mengingati saat-saat manis mereka ketika berada dipremis anda. Contoh; jika perniagaan anda dihadapan masjid, berikan suasana dan persekitaran bercirikan Islam, begitu juga jika perniagaan anda dikelilingi oleh masyarkat bujang, atau institusi pengajian tinggi ubah lah situasi mengikut trend mereka, suasana malap, tempat duduk yang santai, WiFi, makanan ringan dan trend remaja seperti roti canai, Chicken chop, burger atau minuman jus segar.

Ayat-Ayat Pembunuh Kreativiti

  1. "Ahh"
  2. "Saya tak boleh"
  3. "Inilah idea yang paling bodoh pernah saya dengar"
  4. "Betul, tapi kalau kau buat nanti akan jadi macam"....(dimasukkan kisah kegagalan orang lain)
  5. "Alah kami dah cuba buat macam tu dulu" 
  6. "Kenapa nak ubah, kami lihat tak ada masalah pun keadaan sekarang"
  7. "Eh..Mana ada orang buat macam tu sebelum ni."
  8. "Kami banyak kerja lah, mana ada masa nak pikir benda lain"
  9. "Mana kita ada budget nak buat"
  10. "Mana kau dapat idea bodoh nih".......Bersambung.........

Sunday, October 17, 2010

Minda Usahawan #2. Pembangunan Kreativiti


Apabila kita bercerita tentang minda usahawan, maka tidak terlepas daripada konsep kreatif dan inovatif.


Bagaimana menjadi kreatif? 

Cuba kita kenangkan atau bayangkan kembali ketika kita hendak membuat satu lukisan masa persekolahan dahulu. Apa yang terbayangkan, contohlah kita hendak melukis sebatang pokok, kita akan mengambarkan pokok tersebut didalam minda kita, kemudian kita akan buatkan lakaran dalam kertas lukisan, bila lakaran itu tidak menepati seperti didalam bayangan kita akan padamkan dan lukis kembali. Begitulah yang dilakukan berulangkali hingga lakaran tersebut berkenan dihati. Kemudian apalagi? Tentulah proses seterusnya iaitu mewarna. Proses mewarna juga mengikut imaginasi individu, setiap individu mempunyai citarasa yang berbeza terhadap warna. Nah, sekarang lukisan sudah siap, maka paparkan dipapan kenyataan, apa yang dilihat adalah hasil kreativiti seorang insan dalam bentuk dan warna lukisan tersebut mengikut kehendak dan imaginasi oleh pelukis.

Begitu juga dengan minda usahawan,( Ambil contoh dari seni melukis)


(Imaginasi):- cetusan idea bermula dari ketika melihat peluang, membayangkan apa yang boleh dipasarkan dan siapa sasaran anda.

(Melakar):- Setelah itu pertimbangkan apakah kekuatan produk dan bagaimana memasuki pasaran. Bagaimana dengan kewangan? Berapa modal yang ada atau diperlukan perlu diambil kira. Jika perlukan bantuan dimana perlu juga harus diambilkira. Adakah anda telah kenal betul dengan potensi diri sendiri. Apa kemahiran anda sebenarnya. Perlukah menimba ilmu atau menghadiri kursus? Adakah produk anda terlalu unik dan sangat kurang dipasaran, jika 'Ya', adakah bekalan mudah didapati, atau terlalu banyak pesaing dalam pasaran juga perlu diperhatikan, jika jawapan ini 'Ya', bagaimana untuk menonjokan kelainan anda.(lihat dibawah). Proses melakar bermaksud anda membuat perancangan, tuliskan pelan perniagaan anda, lakukan intipan terhadap peniaga sediaada, apa yang mereka tonjolkan dan sejauh mana kreativiti mereka, maka ciptakan satu ciplakan kreatif oleh anda untuk dilihat berbeza dari pesaing.

(Mewarna):- Merancang teknik pasaran dan penonjolan keunikan produk, mungkin produk anda telah banyak dipasaran, tapi disinilah kreativiti anda menonjol, contoh, menjual nasi lemak, jika dilihat nasi lemak adalah sama dan boleh didapati dimana sahaja, rasa pun alahai lebihkurang sama sahaja. Kisah Benar,  ada satu kedai nasi lemak Mak Mah (bukan nama sebenar), Mak Mah menjual nasi lemak kukus dan dihidangkan panas-panas, pada hari Sabtu dan Ahad pelanggan sanggup berbaris semata-mata untuk membeli nasi lemak kukus Mak Mah.Bukan sahaja yang ditonjolkan adalah nasi lemak kukus, tetapi khasiatnya dikatakan kurang kolestrol, malah teknik bungkusan juga berbeza dari penjual lain, oleh itu ia menjadi tredmark kepada kedai nasi lemak kukus Mak Mah. Bah kata orang, tengok bungkusan pun dah tahu nasi lemak siapa.

(Paparkan Lukisan):- Pemilihan lokasi, jika produk anda menyasarkan pelanggan melayu, kategorikan kelas pendapatan dan letakkan produk anda disitu.Kerana orang Melayu juga mempunyai kelas tertentu, ada high class, ada kelas pertengahan dan ada kelas bawahan, iaitu berpendapatan rendah.Tonjolkanlah produk anda kepada mereka. Letakkan didepan mata mereka. Dan berniagalah anda, tetapi ingat sentiasa bangunkan minda kreatif agar perniagaan anda tidak kelihatan sama sahaja saban tahun hingga pelanggan naik bosan melihatnya. Sebab mata manusia suka melihat benda yang baru.

Bersambung...

Friday, October 8, 2010

Jangan lah berputus asa

Dari Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni


Wahai Insan! Optimislah! Jangan berputus asa dan pesimis, berbaik sangkalah kepada Tuhanmu dan nantikanlah semua kebaikan dan anugerah daripada Nya.

Bergembiralah dengan pilihan Allah kepadamu, sebab engkau tidak tahu mana yang baik, kadang-kala kesulitan yang diberikan lebih baik daripada kesenangan.

Musibah itu mendekatkan kamu kepada Allah, musibah itu juga mengajari kamu untuk berdoa, menghilangkan sifat sombong, membangga diri dan bermegah-megah.

Kamu sendirilah yang bertanggungjawap terhadap nikmat harta dan segudang kebaikan yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu.

Berbuat baiklah kepada manusia agar kamu memperoleh kebahagiaan dengan mengunjungi ornag sakit, bersedekah kepada fakir miskin dan menyayangi anak yatim.

Hindarkanlah buruk sangka, berangan-angan dan khayalan yang memudaratkan atau merosakkan.

Wassalam 

Monday, October 4, 2010

Kenali Potensi Diri

 Ditulis Oleh: Roslan Bin Ali
 
Pada dasarnya setiap manusia yang wujud didunia ini telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T dengan berbagai kelebihan. Tetapi ramai yang tidak menyedari kewujudan potensi itu didalam diri. Ada seorang kawan yang berkata beruntunglah orang yang ada ilmu ketukangan, ada yang kata untunglah orang yang ada kemahiran menulis, ada yang kata untunglah dilahirkan sebagai anak orang kaya dan berpengaruh. Cuba kita lihat disini, apa yang dilihat dan dikaji adalah kelebihan orang lain, sedangkan kelebihan diri sendiri dan potensinya tidak dikaji dan diselidiki.

Betullah kata bidalan "kuman diseberang laut nampak, gajah didepan mata tidak kelihatan"


Padahal cuba dilihat pada diri sendiri, bagaimana kita boleh terus 'survive' dalam kehidupan ini. Bagaimana kita boleh kekal dalam menangani masalah yang di terima saban masa. Jika anda masih tidak yakin lagi, cuba baca tip ini.

Kenali diri sendiri
Cuba anda buat satu senarai tentang kekuatan diri (Strength), kemudian senaraikan kelemahan diri anda (Weakness), apakah peluang yang anda boleh capai (Opportunity) dan apakah halangan (Threat) yang anda hadapi, jika diatur huruf dalam kurungan akan menjadi SWOT, inilah pemula strategi kejayaan dalam hidup anda. Jawablah secara jujur. Anda boleh tanyakan pada kawan-kawan rapat atau saudara terdekat mengenai diri anda. Terima segala jawapan dari mereka secara terbuka dan jika boleh tanyakan kepada mereka tentang potensi diri anda kearah kejayaan dari kaca mata mereka. Catatkan segala jawapan tadi dalam strategi SWOT anda.

Tentukan tujuan hidup anda
Tanyakan pada diri anda sendiri 'apa yang anda cari'. Apakah tujuan itu boleh dicapai dalam jangka pendek atau panjang. Adakah ianya realiti mudah dicapai. Setiap rancangan perlulah mengikut kemampuan dan kompetensi diri sendiri. Rancangan jangka panjang amat memerlukan komitmen, ketahanan mental, bersedialah untuk itu semua. 


Kenali motivasi diri
Setiap individu mempunyai motivasi diri tersendiri. Cuba anda pastikan apakah motivasi diri yang boleh melantunkan diri anda untuk mencapai apa yang anda inginkan. Sebagai contoh, cuba bayangkan bagaimana anda boleh diterima bekerja oleh majikan anda, sedangkan ketika itu begitu ramai calon yang hadir didalam temuduga kerja, sudah pasti anda telah menunjukkan sesuatu kekuatan dari dalam diri anda hingga anda diterima oleh majikan anda.


Ingatkan Kekuatan diri, bukan kelemahan
Buangkan jauh-jauh tentang kelemahan diri. Sentiasa ingat anda ada kekuatan sendiri. Tonjolkan kekuatan itu. Jika anda asyik memikirkan anda ada kekurangan dari orang lain maka anda akan kerap mengalah. Setiap kali anda gagal jangan menyalahkan orang lain. Bangkit semula dan cari punca kegagalan dan kelemahan untuk mencungkil kekuatan dan peluang yang boleh dicapai.

Jangan terlalu menyalahkan diri sendiri
Bangkit dari kegagalan. Jangan meratap kegagalan. Bukan anda seorang yang pernah gagal. Belajarlah dari kegagalan dan kejayaan orang lain. Jadikan panduan.

Sebagai contoh cuba lihat kisah John Lasseter, "Chief Creative Officer kepada PIXAR dan Walt Disney Animation Studios. Pada awalnya beliau telah ditolak mentah-mentah oleh Walt Disney kerana idea yang beliau keluarkan dikatakan tidak cukup baik kepada ketua animasi Walt Disney, beliau kemudian telah diterima bekerja oleh Syarikat PIXAR yang ketika itu amat memerlukan seorang animator. Dengan PIXAR beliau begitu berjaya dengan kisah animasi 'Toy Story', 'Bug's Life', 'Toy Story 2' dan 'Cars'. Hingga PIXAR mengambil alih syarikat Walt Disney.
Mengapa John Lasseter begitu berjaya? Kerana beliau tahu tentang kehebatan diri beliau. Yakin dan berusaha bersungguh-sungguh. 

Kini anda telah tahu untuk menilai potensi diri, apa lagi yang ditunggu. Mulakan langkah anda kearah kejayaan

"Selamat Berjaya" 

Friday, September 24, 2010

10 Mitos Keusahawanan

Kepada anda yang berhasrat untuk menjadi usahawan, anda tentu lah telah berbincang atau memyatakan hasrat murni anda kepada sahabat atau saudara terdekat, ibu bapa atau isteri anda. Anda mungkin juga telah mendengar dari mereka tentang berbagai cerita tentang usahawan..Ada yang memberikan maklumat yang baik, nasihat atau perangsang. Ada juga yang bercerita tentang kegagalan usahawan lain yang mereka ketahui. Mungkin anda juga ada mendengar tentang mitos keusahawan, bagaimana untuk menjadi usahawan berjaya, perlukah anda mencari ilmu dahulu atau meneruskan atau menghentikan hasrat anda. 10 mitos keusahawanan ini adalah berdasarkan dari penyelidikan oleh pakar keusahawanan.
Mitos #1
Usahawan hanya melakukan tanpa perlu berfikir.

Walaupun usahawan berkecenderungan dan pantas untuk bertindak tetapi mereka juga adalah pemikir, perancang dan berhati-hati. Kerana itu setiap langkah permulaan terhadap keusahawan mereka diperlukan untuk membina pelan perniagaan yang baik dan matlamat mudah dicapai.

Mitos #2
Usahawan dilahirkan bukan diwujudkan.

Mitos ini mengambarkan usahawan memang dilahirkan semulajadi, keusahawanan tidak boleh dipelajari. Tetapi pada masa ini  keusahawan diwujudkan dengan kaedah dan model, perlu melalui proses kemahiran, belajar melalui kajian kes dan pengetahuan dari bengkel dan seminar keusahawanan.

Mitos #3
Usahawan mestilah pencipta (inventor)

Kekeliruan ini selalu terjadi, sebenarnya untuk menjadi usahawan pelbagai peluang boleh diraih. Apa yang perlu adalah kebolehan dalam mengenalpasti peluang dan kreativiti. Ada manusia yang inovatif tetapi mereka bukan usahawan, contohnya para penyelidik dari organisasi kerajaan atau universiti.

Mitos #4
Usahawan tidak mementingkan pelajaran dan sosial
Mitos ini diadaptasikan dari rekod kejayaan usahawan yang wujud dari kegagalan pelajaran tapi berjaya dalam perniagaan. Tetapi ketika ini para usahawan dilihat sebagai role-model, mereka berjaya dalam bidang pelajaran, menjadi pemimpin masyarakat dan sebagai pemangkin ekonomi negara.

Mitos #5
Mesti memenuhi ciri-ciri atau karektor keusahawan

Ada orang mengariskan berbagai ciri-ciri dalam diri bagi menjadi usahawan. Tetapi adakah semua manusia boleh memenuhi semua sifat tersebut. Ciri-ciri ini telah dikumpulkan oleh para penyelidik dari berbagai sumber dan sudah pasti bukan berdasarkan atas diri seorang usahawan. Ciri utama usahawan adalah bersedia untuk mengambil risiko dan memantapkan motivasi diri.

Mitos #6
Usahawan bergantung pada wang

Benar, untuk menjalankan perniagaan usahawan memerlukan wang. Tetapi banyak perniagaan yang gulung tikar disebabkan kegagalan untuk mengurus kewangan dengan baik. Selain dari itu tiada kemahiran dalam pengurusan, tiada pengetahuan dalam pelaburan, lemah dalam pengurusan keawangan dan pelan perniagaan yang tidak strategik juga penyumbang kepada kegagalan perniagaan.

Mitos #7 
Usahawan bergantung pada nasib

  Selalu kita dengar kata-kata ini "berlaku pada masa yang betul dan pada tempat yang betul".  Sebenarnya nasib boleh berlaku jika persediaan cukup untuk mengarap peluang. Persediaan terhadap keusahawanan adalah yang terbaik untuk mencapai kejayaan. Apa yang tersembunyi dibelakang nasib itu adalah persediaan, pengetahuan, keazaman, kemahuan dan inovatif.

Mitos #8
Perniagaan tidak tersusun dan kacau bilau

Mitos ini adalah datangnya dari mereka yang langsung tidak mengetahui selok-belok perniagaan, mereka hanya membuat tanggapan. Sebenarnya usahawan bergerak dari berbagai sudut, mereka sentiasa melihat banyak peluang didepan mata maka mereka kelihatan seperti tidak terurus atau tidak terkawal. Sebenarnya mereka mempunyai matlamat dan sistem yang kadangkala boleh dihuraikan kadangkala tidak. Maka dari kacamata orang luar ianya kelihatan amat janggal sekali, tetapi usahawan berjaya dengan cara mereka.

Mitos #9
Kebanyakan usahawan gagal kali pertama

Banyak usahawan gagal pada kali pertama dalam perniagaan, dan mereka berpegang dengan kata-kata " jika gagal kali pertama, usaha dan terus usaha". Benar, kegagalan kali pertama mengajar kita untuk bersedia.
 Banyak usahawan terbukti telah berjaya dalam perniagaan dalam kali pertama, ini kerana sebelum mereka bergelumang dalam dunia keusahawanan mereka telah bersedia dengan pengetahuan keusahawanan.

Mitos #10
Usahawan memperjudikan nasib dan pengambil risiko

Pandangan orang terhadap keberanian usahawan mengambil risiko telah diputar-belitkan. Adakah benar usahawan mengambil risiko dan memperjudikan nasib dengan membabi-buta. Sebenarnya usahawan berhadapan dengan risiko yang boleh diatasi. Kebiasaannya usahawan yang berjaya adalah mereka yang berusaha keras melalui perancangan dan persediaan untuk meminimumkan risiko dan mengawalnya menepati visi yang dirancangkan.


Kesimpulan

Jika dilihat kembali sangkalan dari 10 mitos diatas, anda akan dapati semua sangkalan tersebut menyebut tentang ilmu keusahawan, berpengetahuan dari merancang perniagaan, strategi perniagaan, inovatif dan perlu cepat mengambil peluang. Semua perkara ini perlu dipelajari dahulu agar setiap usahawan dapat menangani setiap isu didalam perniagaan yang dijalankan dengan teratur dan terancang.

Minda Usahawan

Usahawan mempunyai minda yang cekap melihat peluang, berani mengambil risiko. Sentiasa kreatif dan inovatif terhadap pasaran di hadapan mereka, berkebolehan mengadaptasi isu menjadi peluang kepada mereka. Sebagai contoh lihat lah ketika musim perayaan, berbagai barangan yang dijual untuk menarik perhatian pembeli, ada peniaga menjual barangan yang sama sahaja, tetapi usahawan melihat dengan cara berbeza, mereka melangkaui cara pemikiran biasa, mereka mencari ruang untuk dilihat berbeza dari peniaga kebanyakan. Oleh itu usahawan mempunyai usaha untuk merealisasikan idea baru dan kreatif.
Setiap orang adalah berpotensi untuk menjadi usahawan dan peluang sentiasa terbuka. Apa yang membezakan antara individu terhadap keusahawanan adalah motivasi diri. Bersedia untuk mengambilkira risiko terhadap masa, ekuiti, kerjaya, berkebolehan untuk menjadi pemimpin, berkebolehan untuk membina plan perniagaan yang baik dan mempunyai visi yang jelas terhadap masa depan perniagaan.

Kisah Air Asia
  Dalam masa 5 tahun sahaja Air Asia telah berkembang pesat dengan mempunyai 30 buah pesawat antaranya boeing 737-300 dan Airbus A320-15. Air Asia telah berjaya mengadaptasikan Blue-Ocean Strategy terhadap perniagaannya. Mereka sedia berubah dari kebiasaan, keberanian mereka menawarkan tambang harga murah sangat-sangat dikagumi. Mereka berusaha untuk mencari apa yang pelanggan mahukan, dan dari pertanyaan inilah mereka berjaya untuk memecahkan tradisi.
Penjenamaan adalah matlamat yang paling penting untuk sesuatu perniagaan, maka Air Asia berjaya membina penjenamaan terhadap syarikat. Kini apabila pelanggan ingat kapalterbang maka lintasan pertama diminda mereka adalah Air Asia.
Maka CEO Air Asia, Tony Fernandes telah dilihat sebagai seorang usahawan yang berjaya dalam membangunkan perniagaan Air Asia. Ini kerana beliau bukan sahaja mempunyai keupayaan mencari peluang malah juga berjaya sebagai pemimpin. Usahawan perlu mempunyai ilmu didalam kepimpinan kerana didalam sesuatu organisasi besar seperti Air Asia konflik pasti berlaku dan disinilah pengetahuan kepimpinan akan teruji. 

Wednesday, September 22, 2010

Gambar Kenangan Ketika Menimba Ilmu - MBA-UUM 2nd COHORT

Begitu khusyuk mendengar pembentangan kertas kerja dari panel.. Strategic Management
 Bravo..tuan Salleh..ko memang hebat...ada tokoh perancang strategi..

 Dr.Amer..wa respect habis..banyak ilmunyer tu..Leadership Development


yang nih lecturer kami yang paling muda..Cik Kadzrina

Woi..hampa tengok nih...Dr.Juzhar..aku mati-mati ingat mat salleh..sifu ekonomi

 tersergam indah sebagai gudang ilmu


posing dulu..

Pakar managerial accounting, Dr.Wan..lecturer yang paling seni sekali...whiteboard tu pasti tiada ruang kosong..wa caya lu..

Dr.Norasidah ..sifu entrepreneurship development..dan himpunan bunga 2nd COHORT

Tuesday, September 21, 2010

Pilih lah mana berkenan dihati...

Banyak lagi pilihan hati anda..

'Initial Review' kepada usahawan baru

Salam sejahtera..
apabila kita mula membayangkan untuk menjadi usahawan, perkara pertama tentulah tentang produk dan keuntungan yang boleh dikaut dari hasil jualan. Oleh itu saya ingin menerangkan bagaimana untuk merealisasikan impian anda menjadi usahawan.
Perkara-perkara yang perlu diambil kira adalah seperti berikut:-
  1. Berapa banyak kah pengetahuan anda terhadap produk yang anda ingin hasilkan atau jual.
  2. Bagaimana anda merancang dan membentuk jaringan perniagaan
  3. Siapa pembekal anda
  4. Adakah plan perniagaan anda benar-benar tersusun agar anda boleh mencapai sasaran
  5. Adakah produk atau servis dan misi perniagaan anda jelas dan mudah dicapai
  6. Adakah anda telah fokuskan plan perniagaan anda terhadap perkara-perkara yang penting
  7. Siapakah pelanggan anda. Adakah anda telah kenalpasti sasaran.
  8. Mengapa pelanggan perlu membeli produk atau servis anda.
  9. Adakah produk atau servis anda benar-benar menepati citarasa pelanggan sasaran.
  10. Bagaimana pesaing-pesaing anda. Adakah mereka sangat aktif.
  11.  adakah anda boleh mengurus / mengetuai pekerja dalam organisasi
  12. Berapa banyak wang yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan.

Saturday, September 4, 2010

Berani Kah Anda Menjadi Usahawan

Siapa Usahawan? Usahawan adalah seorang individu yang pandai menghidu peluang, bijak mengenalpasti perubahan pasaran dan berkebolehan membuat andaian terhadap peluang dan pasaran masa-depan. Usahawan adalah individu yang mempunyai minda inovasi, boleh mengadaptasi halangan atau cabaran dan mengubahnya menjadi peluang. Usahawan sentiasa fokus kepada keuntungan dan perkembangan perniagaan.Mereka juga adalah dikalangan orang-orang yang berani mengambil risiko.

Adakah anda mempunyai minda yang sebegini? Adakah cukup dengan cara ini anda boleh berjaya sebagai usahawan? Bagaimana dengan pengalaman? Berapa ramai peniaga yang berkali-kali gagal dalam perniagaannya? Adakah tidak cukup pengalaman mereka?Mengapa mereka gagal?

Kebanyakan perniagaan baru hanya mampu bertahan selama 1 tahun atau paling tinggi 5 tahun. Mengapa begitu?

Semua persoalan ini akan dikongsi didalam jurnal Usahawan Baru ini...Insyaallah..